(Sinar Harian
21 Mei 2012)
Ke mana saya
pergi, untuk berceramah, saya lihat rumah ibadat bukan Islam tumbuh macam kulat.
Ada sahaja tombol yang naik, yang kecil menjadi besar, yang rendah menjadi
tinggi, yang ditinggalkan, diperbaharui dan macam-macam perubahan yang berlaku.
Pergilah ke manapun, di situ saudara akan terlihat apa yang saya katakan.
Lebih
menyakitkan lagi, jalan utama terpaksa dilencongkan kerana memberi laluan kepada
pembinaan rumah berhala. Apakah ini wajar? Berapa banyak lagi rumah ibadat
diperlukan sedangkan yang sedia ada sudah mencecah 200,000 berbanding surau
masjid dalam lingkungan 30 ribu. Jika bilangan masjid surau mencecah ratusan
ribu atau terletak di tanah haram, itu munasabah, kerana Islam adalah agama
persekutuan. Lagi pula majoriti rakyat di negara ini beragama
Islam.
Semua ini
begitu jelas berlaku selepas Pilihan Raya Umum 12, 2008. Perpecahan umat Islam
mengakibatkan orang lain mengambil kesempatan, menangguk di air yang keruh. Yang
belum ada, diada-adakan, yang sudah ada, ditambah dan diperbaharui. Justeru,
saya amat mengharapkan dengan keluarnya orang Melayu daripada parti ultra kiasu
Cina itu, dapat membuka mata kita semua agar umat Islam bertaut kembali. Dalam
artikel kali ini, izinkan saya mengupas sebahagian sahaja, ruginya Islam dan
Melayu, apabila mereka tidak bersatu.
Kedudukan agama
Islam semakin terancam. Orang bukan Islam mahukan semua tuntutan Inter Faith
Commission (IFC) dipenuhi sepenuhnya (rujuk artikel saya terdahulu). Agama
Islam sebagai agama persekutuan tidak lagi dihormati, sehinggakan majlis doapun
dipertikaikan, apatah yang lain. Kes-kes yang berkaitan dengan agama Islam,
mudah sahaja dibawa ke mahkamah sivil. Misalnya, isu kalimah Allah yang mahu
digunakan sewenang-wenangnya, bibel bahasa Melayu, kes murtad, perebutan mayat
saudara baru dan sebagainya. Mahkamah syariah seolah-olah tidak lagi dihormati,
apatah lagi untuk dirujuk.
Selain itu,
peruntukan untuk rumah ibadat antara Islam dan bukan Islam sudah menjadi sama
rata. Terbaharu, di Selangor, ahli Majlis tidak akan meluluskan pembangunan
taman perumahan baharu, selagi tidak memenuhi syarat iaitu setiap taman
perumahan mesti ada rumah ibadat semua agama. Apakah makna ini semua? Adakah
keadilan bermakna seorang sebiji?
Berkaitan
dengan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera seperti yang termaktub dalam
Perlembagaan Persekutuan Perkara 153, saya sudah tidak nampak masih ada
kewujudannya dalam bentuk realiti semasa. Boleh dikatakan apa jua keistimewaan
mereka yang bergelar Melayu dan bumiputera telah pun ada pada mereka yang
selainnya. Lihatlah nanti isu kemasukan ke universiti dan pemberian biasiswa.
Begitu juga isu lesen dan perkhidmatan awam. Walaupun kita mudah dapat, tetapi
manfaatnya dirasai oleh siapa?
Kuasa politik
Melayu Islam semakin terhakis. Tuntutan demi tuntutan semua parti komponen
Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat sentiasa mahukan keadilan berasaskan formula
sama rata dan sama rasa. Dahulu kuasa politik Melayu Islam mendominasi, bukan
Melayu tidak minat kepada kuasa, tetapi lebih kepada bisnes. Hari ini, mereka
mahukan kedua-duanya, kuasa dan bisnes. Mereka sentiasa mahukan kerusi tambahan.
Siapa yang akan berkorban? Tidak cukup dengan itu, apa juga keistimewaan orang
Melayu, juga perlu ada padanya, walaupun dijamin oleh perlembagaan.
Dalam isu
pendidikan, Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Agama semakin terhakis. Peruntukan
sudah menjadi sama rata, walaupun ada sedikit kelebihan pada sekolah kebangsaan.
Sekolah vernakular semakin mendapat tempat, terutama dalam isu penempatan
guru-guru. Kita lebih mendengar kata-kata NGO daripada pakar pendidikan.
Kerajaan seolah-olah tidak boleh menentukan masa depan pendidikan. Seolah-olah
ia berada di tangan NGO.
Kedudukan
Bahasa Melayu semakin terancam, manakala bahasa Inggeris dan bahasa ibunda
semakin mendapat tempat. Melihat kepada banner memprotes tindakan pihak berkuasa
di Taman Desaria, Sg Ara atau di mana-mana sahaja protes yang majoritinya bukan
Melayu. Bahasa Melayu langsung tidak mendapat tempat di hati mereka. Tinjaulah
iklan-iklan yang berada di sekeliling.
Dalam bidang
ekonomi usahlah dicerita. Bilangan orang Islam yang kaya masih statik. Yang kaya
sibuk kawin artis. Orang Melayu semakin ramai diperalatkan. Pegawai kerajaan
yang telah pencen bergelar Tan Sri dan Datuk, dipergunakan bagi mendapat tender
sana sini. Jawatan pengerusi syarikat hanya permainan silap mana sahaja. Mereka
langsung tidak berperanan. Hanya datang pejabat sekali sekala untuk bermesyuarat
mendapatkan elaun.
Begitu juga
dalam bidang sosial. Tidak perlulah dibincangkan isu gejala sosial. Lihat sahaja
sektor makanan terus dikuasai oleh bukan Melayu. Saya difahamkan kedai-kedai
makan yang berbunyi Melayu dan Islam sudah tidak lagi dipunyai oleh mamak atau
orang Islam, tetapi kepunyaan bukan Islam. Nama-nama Islam dan pekerja Islam
dari India digunakan sewenang-wenangnya untuk melariskan produk.
Banyak lagi
yang boleh dibincang dalam ruangan terhad ini. Justeru, saya ingatkan, Pas tidak
perlu menyaingi Umno untuk menarik 100,000 anggota dalam perhimpunan parti itu
di Kedah pada 1 Jun nanti sebagai respon kepada perhimpunan sambutan ulangtahun
Umno yang berakhir minggu lalu. Umat Islam tidak perlu bersaing untuk
‘menunjukkan kehebatan dan kekuatan’ dalam perkara politik yang membawa
perpecahan. Tetapi biarlah kita bersaing dalam perkara yang membawa kebaikan
seperti kekuatan ekonomi, pendidikan dan mengembalikan semangat jihad. Apalah
ertinya angka yang besar dan ramai sekiranya umat Islam merempat dan menagih
simpati di bumi sendiri. Kuantiti tidak penting, tetapi kualiti jauh lebih
penting. Itu akan menjamin masa depan agama bangsa dan negara. Justeru,
fikirkanlah.
Pas dan Umno
perlu membuang prasangka buruk antara satu sama lain. Sekarang ini adalah masa
bekerja untuk Islam. Berpolitiklah secara matang. Buat perancangan dan rangka
strategi. Lupakanlah yang lain-lain, termasuk dendam kesumat. Peluang dan
kesempatan tidak datang selalu. Saya amat bimbang, jika peluang dan kesempatan
itu tidak datang lagi. Kenalilah rakan seagama dengan rakan tidak seagama. Mana
satu yang boleh dipercayai? Pemimpin Melayu ultra kiasu telahpun keluar daripada
parti ultra kiasu Cina tersebut kerana beliau sudah celik mata. Apakah kita
masih buta?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan