Khamis, 24 Mei 2012

KENALI KAWAN SEBENAR

(Sinar Harian 14 Mei 2012)



Saya amat teruja dengan dolak dalih Pas mengenai hukum hudud. Jika dahulu, mewujudkan sebuah negara Islam dan melaksanakan hukum hudud adalah matlamat Pas. Hari ini, Presiden PAS berkata hudud bukan sesuatu yang menjadi keutamaan walaupun ia akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Pakyat mengambil alih tampuk pemerintahan negara.



Menurutnya, “hudud akan dilaksanakan terlebih dahulu kepada umat Islam sementara bukan Islam diberi pilihan (untuk menerimanya atau tidak). Bagaimanapun, ia mesti dilaksanakan mengikut proses demokrasi. Kita dahulukan yang mana dahulu, kita selesaikan masalah, atasi kemiskinan dahulu. Hukum hudud tidak boleh dilaksanakan, hukum mencuri tidak boleh dijatuhkan sekiranya gaji minimum tidak dilaksanakan. Sebagai contoh, gaji minimum kena ada, kalau dia mencuri sebab gaji tak cukup, ia (hudud) tak boleh dilaksanakan sebab tak cukup syarat nak laksana hukum ini, itu kena faham. Masalah pengangguran diselesaikan dulu baru (hudud) dilaksanakan”.



Sebelum ini, Presiden Pas juga berkata pakatan pembangkang akan meminda perlembagaan negara yang ketika ini meletakkan Islam sebagai agama rasmi kepada Islam sebagai addin, iaitu yang merangkumi seluruh kehidupan manusia, jika dipilih menjadi kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.



Persoalan saya, apakah Pas begitu yakin akan menerajui kerajaan jika Pakatan Rakyat memerintah? Apakah parti ultra kiasu Melayu dan Cina akan bersetuju dengan rancangan Pas yang murni itu? Bolehkah pindaan perlembagaan dilakukan sedangkan kedua-dua parti ultra kiasu awal-awal lagi sudah mengatakan tidak, terhadap konsep negara Islam dan hudud? Mereka hanya mahukan negara sekular kerana boleh melakukan LGBT? Bacalah kenyataan-kenyataan mereka sebelum ini.



Baiklah, lupakan sementara waktu perkara ini. Ingin saya bertanya, jika Pakatan Rakyat memerintah, di manakah kedudukan Pas dan Islam? Di negeri yang diperintah oleh mereka seperti Selangor dan Pulau Pinang, Pas telah disisihkan. Inilah pulak apabila berjaya membentuk kerajaan pusat? Jika Pas masih tidak percaya akan kata-kata saya, cuba sekali lagi bertanya kepada kepimpinan ultra kiasu, setuju atau tidak dengan idea negara Islam dan hudud?



Saya amat yakin, jawapannya TIDAK. Jika begitulah keadaannya, apa guna lagi bersama-sama dengan orang yang menentang Islam. Tidak kiralah ultra kiasu Melayu atau Cina. Cabut dan angkat kaki. Cubalah beralih angin terhadap Umno. Saya amat yakin, membincangkan soal Islam dengan Umno lebih terbuka daripada ultra kiasu. Umno kini sudah mula berlapang dada. Umno sudah merasai pahitnya apabila kehilangan beberapa negeri dan tidak mendapat dua pertiga kerusi parlimen.



Saya bukanlah orang Umno, tetapi saya yakin dalam Umno, ramai yang mahukan Islam. Inilah yang menjadi ketakutan kepada ultra kiasu, jika Umno dan Pas bersatu. Ketika itu, kita lihat siapa yang kuat dan siapa yang berani mengangkat muka! Hari ini ternyata, Pas dipermainkan oleh parti ultra kiasu Melayu yang merasakan dirinya kuat, wal hal sebenarnya tidak. Mereka hanya menumpang kekuatan Pas. Itupun begitu mengada-ngada.

PKR mahukan kerusi Pas yang sememangnya sudah kuat di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Sedangkan pada saya, PKR tidak layakpun untuk bertanding di kawasan kubu kuat Pas. Sebab itu, Pas sepatutnya berkeras dan bertegas berhadapan dengan tuntutan ultra kiasu ini. PKR tidak ada apa-apa tanpa Pas? Dengan adanya Pas, barulah PKR ada sedikit kekuatan. Itupun mereka masih berlagak kuat.



Maaf cakap, sehingga kini saya masih sukar untuk mempercayai ultra kiasu Melayu ini, apatah lagi ultra kiasu Cina. Mereka ini dahulunya adalah orang Umno. Jika selama ini mereka menuduh Umno macam-macam, seolah-olah Umno sangat jahat, apakah perangai-perangai Umno sudah lekang daripada diri mereka? Saya tidaklah menuduh Umno sebegitu. Tetapi jika mereka yang sering menuduh Umno sedemikian, dari lubuk manakah mereka berasal? Sebab itulah saya tidak hairan jika berlaku banyak penyelewengan yang sama berlaku di negeri pimpinan mereka. Mereka juga membawa perangai Umno?



Saya mohon maaf kepada Umno kerana terpaksa mengeluarkan kenyataan ini. Saya lihat hari ini semenjak mereka keluar dari Umno, mereka memandang Umno lebih hina daripada ultra kiasu yang jelas-jelas menentang Islam. Adakah orang ini boleh dipercayai? Hanya kerana dendam yang tidak berkesudahan, mereka sanggup menggadaikan maruah agama, bangsa dan negara.



Justeru, saya mengingatkan Pas, supaya lupakanlah hasrat untuk wujudkan negara Islam dan laksanakan hudud jika masih lagi bersama bekas-bekas orang Umno dan ultra kiasu ini. Mereka tidak pernah ikhlas, mereka hanya mahukan kuasa. Apabila mendapat kuasa nanti, Pas akan ditendangnya. Hudud Pas hanya akan tinggal angan-angan.



Justeru, saya amat sedih apabila Pas turut terpengaruh dan terheret bersama mereka yang menentang Islam. Bolehkah kita mempercayai mereka? Berpolitik biarlah berpijak kepada realiti atau bumi nyata. Itu lebih membawa manfaat daripada beretorik.



Sebab itu, dari dahulu saya katakan, berbincanglah dengan Umno, lebih banyak faedah daripada ultra kiasu. Umno begitu terbuka hari ini selepas PRU 12 2008. Umno sudah banyak berubah berbanding dahulu. Jika dahulu, kritik sahaja Umno, semua orang ‘digamnya’. Hari ini orang Umno sendiri mengkritik Umno. Mereka masih diberi peluang.



Pada saya, Umno sudah jauh berubah berbanding dahulu. Umno mula bercakap soal integriti, transformasi dan sebagainya. Benar, masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Namun, usaha-usaha ke arah yang lebih baik sedangkan berjalan. Saya yakin, jika Pas ikhlas, Umno akan berubah lagi. Pokoknya, mulakan langkah pertama dengan Umno. Seingat saya, hari ini Umno masih berlapik apabila mengeluarkan kenyataan mengenai Islam, berbanding dengan ultra kiasu itu. Mereka bukan sahaja tidak mahu kepada Islam, malah bersekongkol dengan Yahudi dan Amerika yang mahukan demokrasi yang berteraskan kepada kebebasan dan hak asasi manusia diamalkan.



Maka tidak hairanlah LGBT begitu dipropagandakan. Saya tidak pasti ada kalangan mereka yang berminat ke arah itu. Apa yang jelas mereka ini tidak layak dijadikan kawan. Bimbang-bimbang kita disondolnya nanti. Kenalilah antara kawan dan musuh sebenar.


RUGINYA BILA ISLAM BERPECAH



(Sinar Harian 21 Mei 2012)



Ke mana saya pergi, untuk berceramah, saya lihat rumah ibadat bukan Islam tumbuh macam kulat. Ada sahaja tombol yang naik, yang kecil menjadi besar, yang rendah menjadi tinggi, yang ditinggalkan, diperbaharui dan macam-macam perubahan yang berlaku. Pergilah ke manapun, di situ saudara akan terlihat apa yang saya katakan.



Lebih menyakitkan lagi, jalan utama terpaksa dilencongkan kerana memberi laluan kepada pembinaan rumah berhala. Apakah ini wajar? Berapa banyak lagi rumah ibadat diperlukan sedangkan yang sedia ada sudah mencecah 200,000 berbanding surau masjid dalam lingkungan 30 ribu. Jika bilangan masjid surau mencecah ratusan ribu atau terletak di tanah haram, itu munasabah, kerana Islam adalah agama persekutuan. Lagi pula majoriti rakyat di negara ini beragama Islam.



Semua ini begitu jelas berlaku selepas Pilihan Raya Umum 12, 2008. Perpecahan umat Islam mengakibatkan orang lain mengambil kesempatan, menangguk di air yang keruh. Yang belum ada, diada-adakan, yang sudah ada, ditambah dan diperbaharui. Justeru, saya amat mengharapkan dengan keluarnya orang Melayu daripada parti ultra kiasu Cina itu, dapat membuka mata kita semua agar umat Islam bertaut kembali. Dalam artikel kali ini, izinkan saya mengupas sebahagian sahaja, ruginya Islam dan Melayu, apabila mereka tidak bersatu.



Kedudukan agama Islam semakin terancam. Orang bukan Islam mahukan semua tuntutan Inter Faith Commission (IFC) dipenuhi sepenuhnya (rujuk artikel saya terdahulu). Agama Islam sebagai agama persekutuan tidak lagi dihormati, sehinggakan majlis doapun dipertikaikan, apatah yang lain. Kes-kes yang berkaitan dengan agama Islam, mudah sahaja dibawa ke mahkamah sivil. Misalnya, isu kalimah Allah yang mahu digunakan sewenang-wenangnya, bibel bahasa Melayu, kes murtad, perebutan mayat saudara baru dan sebagainya. Mahkamah syariah seolah-olah tidak lagi dihormati, apatah lagi untuk dirujuk.



Selain itu, peruntukan untuk rumah ibadat antara Islam dan bukan Islam sudah menjadi sama rata. Terbaharu, di Selangor, ahli Majlis tidak akan meluluskan pembangunan taman perumahan baharu, selagi tidak memenuhi syarat iaitu setiap taman perumahan mesti ada rumah ibadat semua agama. Apakah makna ini semua? Adakah keadilan bermakna seorang sebiji?



Berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 153, saya sudah tidak nampak masih ada kewujudannya dalam bentuk realiti semasa. Boleh dikatakan apa jua keistimewaan mereka yang bergelar Melayu dan bumiputera telah pun ada pada mereka yang selainnya. Lihatlah nanti isu kemasukan ke universiti dan pemberian biasiswa. Begitu juga isu lesen dan perkhidmatan awam. Walaupun kita mudah dapat, tetapi manfaatnya dirasai oleh siapa?



Kuasa politik Melayu Islam semakin terhakis. Tuntutan demi tuntutan semua parti komponen Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat sentiasa mahukan keadilan berasaskan formula sama rata dan sama rasa. Dahulu kuasa politik Melayu Islam mendominasi, bukan Melayu tidak minat kepada kuasa, tetapi lebih kepada bisnes. Hari ini, mereka mahukan kedua-duanya, kuasa dan bisnes. Mereka sentiasa mahukan kerusi tambahan. Siapa yang akan berkorban? Tidak cukup dengan itu, apa juga keistimewaan orang Melayu, juga perlu ada padanya, walaupun dijamin oleh perlembagaan.



Dalam isu pendidikan, Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Agama semakin terhakis. Peruntukan sudah menjadi sama rata, walaupun ada sedikit kelebihan pada sekolah kebangsaan. Sekolah vernakular semakin mendapat tempat, terutama dalam isu penempatan guru-guru. Kita lebih mendengar kata-kata NGO daripada pakar pendidikan. Kerajaan seolah-olah tidak boleh menentukan masa depan pendidikan. Seolah-olah ia berada di tangan NGO.



Kedudukan Bahasa Melayu semakin terancam, manakala bahasa Inggeris dan bahasa ibunda semakin mendapat tempat. Melihat kepada banner memprotes tindakan pihak berkuasa di Taman Desaria, Sg Ara atau di mana-mana sahaja protes yang majoritinya bukan Melayu. Bahasa Melayu langsung tidak mendapat tempat di hati mereka. Tinjaulah iklan-iklan yang berada di sekeliling.



Dalam bidang ekonomi usahlah dicerita. Bilangan orang Islam yang kaya masih statik. Yang kaya sibuk kawin artis. Orang Melayu semakin ramai diperalatkan. Pegawai kerajaan yang telah pencen bergelar Tan Sri dan Datuk, dipergunakan bagi mendapat tender sana sini. Jawatan pengerusi syarikat hanya permainan silap mana sahaja. Mereka langsung tidak berperanan. Hanya datang pejabat sekali sekala untuk bermesyuarat mendapatkan elaun.



Begitu juga dalam bidang sosial. Tidak perlulah dibincangkan isu gejala sosial. Lihat sahaja sektor makanan terus dikuasai oleh bukan Melayu. Saya difahamkan kedai-kedai makan yang berbunyi Melayu dan Islam sudah tidak lagi dipunyai oleh mamak atau orang Islam, tetapi kepunyaan bukan Islam. Nama-nama Islam dan pekerja Islam dari India digunakan sewenang-wenangnya untuk melariskan produk.



Banyak lagi yang boleh dibincang dalam ruangan terhad ini. Justeru, saya ingatkan, Pas tidak perlu menyaingi Umno untuk menarik 100,000 anggota dalam perhimpunan parti itu di Kedah pada 1 Jun nanti sebagai respon kepada perhimpunan sambutan ulangtahun Umno yang berakhir minggu lalu. Umat Islam tidak perlu bersaing untuk ‘menunjukkan kehebatan dan kekuatan’ dalam perkara politik yang membawa perpecahan. Tetapi biarlah kita bersaing dalam perkara yang membawa kebaikan seperti kekuatan ekonomi, pendidikan dan mengembalikan semangat jihad. Apalah ertinya angka yang besar dan ramai sekiranya umat Islam merempat dan menagih simpati di bumi sendiri. Kuantiti tidak penting, tetapi kualiti jauh lebih penting. Itu akan menjamin masa depan agama bangsa dan negara. Justeru, fikirkanlah.



Pas dan Umno perlu membuang prasangka buruk antara satu sama lain. Sekarang ini adalah masa bekerja untuk Islam. Berpolitiklah secara matang. Buat perancangan dan rangka strategi. Lupakanlah yang lain-lain, termasuk dendam kesumat. Peluang dan kesempatan tidak datang selalu. Saya amat bimbang, jika peluang dan kesempatan itu tidak datang lagi. Kenalilah rakan seagama dengan rakan tidak seagama. Mana satu yang boleh dipercayai? Pemimpin Melayu ultra kiasu telahpun keluar daripada parti ultra kiasu Cina tersebut kerana beliau sudah celik mata. Apakah kita masih buta?


Rabu, 8 Februari 2012

DAP yg racist

Sejak penubuhannya, parti ini telah memperjuangkan semangat anti bumiputra dalam polisinya Dan termaktub dalam visi parti untuk menghapuskan status bumiputra dalam ideologi politiknya. Sila lihat laman web rasmi DAP.

Isnin, 19 Julai 2010

PAS & UMNO

Hairan betul le..benda yg baik utk perpaduan org melayu dan islam selalu ditentang oleh suku-sakat org kita dengan pelbagai fatwa merapu..pastinya mereka takut akan hilang jawatan, sokongan pengikut taksub..puak ultra kiasu dlm DAP, PKR tentulah tak seronok sebab tak boleh nak melaga-lagakan org melayu kalau PAS & UMNO bersatu dan berbaik..insyaallah.
Kita wajiblah mengutamakan perpaduan kerana ia asas dlm perjuangan agama dan bangsa. pengikut kenalah rasional...tolakle pemimpin yg nak bermusuhan tu. PRU 12 telah membuktikan bahawa kekuatan telah berpindah drp. kaum melayu kepada kaum cina dan india yg boleh menentukan kemenangan sesuatu calon yg bertanding. ini merupakan bibit2 kejatuhan era kuasa politik melayu di malaysia. JATUH MELAYU HANCURLAH ISLAM. belajarlah sejarah kejatuhan Melaka sebagai empayar islam yg digeruni di ASIA hingga berkubur dan hilang kesan2 islam seperti masjid dan pusat kegiatan islam hingga diganti dgn bangunan yg bercirikan penjajah. adapun masjid di Melaka sekarang adalah selepas penjajahan Portugal dan Belanda. berapa ramai wanita yg dirogol, dibunuh dan orang lelaki yang disiksa dgn kejam dan yg dipaksa memeluk agama kristian....
ini semua pengajaran drp sejarah agar kita sentiasa bersatu drp pelbagai ancaman luar dan dalam. musuh kita bukanlah Yahudi yg dilaknati, media2 barat yg berat sebelah dan NGO2 yg ditaja oleh pihak luar TETAPI musuh dalaman yg terdiri drp individu2 yg berkepentingan politik yg sentiasa dahagakan permusuhan, menabur prasangka dan fitnah di media dan ceramah2 parti hingga memperdayakan rakyat biasa yg ada kalanya dangkal dlm membezakan yg mana permata atau kaca. berfikir dan bertindaklah wahai BANGSAKU...kerana perjalanan kita masih lagi jauh untuk memartabatkan bahasa dan agama kita drp diratah oleh anasir2 yg bertopengkan kebebasan bersuara, suara demokrasi, hak kebebasan individu yg semuanya diimport dan dijana dlm minda oleh media2 cetak, elektronik yg berkiblatkan KESESATAN.
Belum terlambat utk kita melangkah dgn nilai keinsafan dlm diri...menyedari kelemahan kita dan mengasah kekuatan kita kerana ESOK MASIH ADA bagi mereka yg cekal, tabah demi ANAK-CUCU KITA di bumi yang bertuah ini yg bernama TANAH MELAYU..insyaallah.